Pelajar SMK Datuk Bendahara maut, seorang lagi cedera parah

Pelajar SMK Datuk Bendahara maut, seorang lagi cedera parah

MUHAMMAD SYAHMIASYRAF Mohd. Zaini maut di lokasi kemalangan di Jalan Air Baruk, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara menemui ajal selepas motosikal diboncengnya terlibat nahas di Jalan Air Baruk di sini, kira-kira pukul 7.22 pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Syahmiasyraf Mohd. Zaini, 14, maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, Muhammad Nor Zulkifli Norian, 16, yang juga rakan sekolahnya dikejarkan ke Hospital Jasin kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, nahas membabitkan tiga buah kenderaan iaitu motosikal jenis Honda EX5, lori dan kereta jenis Honda City.

Jelasnya, insiden dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal yang berada di belakang lori telah melanggar bucu kanan kenderaan itu, lantas tercampak ke laluan bertentangan.

“Siasatan lanjut pihak polis mendapati, lori dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kesang menghala ke Bandar Jasin. Apabila sampai di Kampung Air Baruk, pemandu lori memperlahankan kenderaan kerana terdapat sebuah van sedang berhenti untuk masuk ke simpang.

“Semasa bergerak perlahan, secara tiba-tiba motosikal yang datang dari arah belakang telah melanggar bahagian bucu kanan belakang lori. Ia menyebabkan penunggang serta pembonceng motosikal tercampak ke lorong bertentangan.

“Pada masa sama, kereta dipandu seorang guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Senggeh dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar pembonceng,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Jamil, kedua-dua pelajar terlibat sedang dalam perjalanan ke sekolah manakala pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dalam kemalangan tersebut pembonceng motosikal mendapat kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala penunggang dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan daripada pihak pemandu lori dan kereta. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya