Bas terbakar: Seorang pelancong India maut terbakar

Bas terbakar: Seorang pelancong India maut terbakar, empat cedera

KEMALANGAN di Kilometer 198 PLUS arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pelancong dari Chennai, India maut apabila tubuh badannya hangus terbakar manakala tiga ahli keluarganya cedera selepas bas dinaiki mereka terlibat kemalangan lalu terbakar di Kilometer 198 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu memaklumkan, mangsa yang maut, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi.

YAFARAH TAJ FAKRUDIN HUSSAINI

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah ialah Peer Mohamed Kannudeen, 69, terbakar hampir 80 peratus dan Anissa Begum Fakrudin Hussaini, 45, terbakar hampir 50 peratus manakala Mohideenmeraal Beermohamed, 69, dan seorang warga Singapura, Tasmiyah Taj, 19, cedera ringan.

Jelasnya, bas yang membawa 28 penumpang itu terbakar selepas melanggar sebuah motosikal yang terbabas sendiri lantas penunggangnya terjatuh ke laluan paling kiri.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kenderaan yang terlibat masih berada di tempat kejadian dan belum dialihkan manakala lima mangsa penumpang bas telah dibawa ke Hospital Alor Gajah.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun telah berlaku kemalangan awal iaitu terbabas sendiri dan jatuh di lorong paling kiri.

“Penunggang itu sempat bangun mengelak ke kiri jalan dan tidak lama kemudian datang bas berkenaan telah melanggar dan telah menyeret motosikal ke hadapan.

“Akibat daripada pelanggaran itu bas mengalami kebakaran dan terdapat tiga penumpang yang duduk di bahagian belakang telah terperangkap mengalami kecederaan badan terbakar dan melecur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

KEMALANGAN di Kilometer 198 PLUS arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka.

Tambah Arshad, baki 23 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal cedera luka-luka pada anggota badan.

“Mayat si mati telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Kesemua mangsa termasuk si mati adalah satu keluarga.

“Dua pemandu bas berumur 24 dan 46 tahun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya