PBT Melaka diarah cari pokok berisiko tumbang

PBT Melaka diarah cari pokok berisiko tumbang

RAIS Yasin menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India pada Program Penyampaian Sumbangan Deepavali di Pejabat Japerun Paya Rumput, Cheng, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengenal pasti dan melakukan kerja-kerja pemotongan pokok berisiko tumbang atau patah berikutan fenomena angin kencang yang kerap melanda Melaka, akhir-akhir ini.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, oleh kerana faktor cuaca tidak menentu, kerja-kerja landskap sedemikian tidak boleh hanya dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, faktor keselamatan orang awam perlu dijadikan keutamaan meskipun melibatkan pokok-pokok yang berstatus tidak boleh ditebang bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kehilangan nyawa.

“Cantasan pokok ini dijalankan mengikut jadual. Cumanya yang saya cakap tadi adalah penambahbaikan, contohnya kalau jadualnya ada route (laluan) yang mesti dituruti dalam tempoh seminggu, dalam tempoh dua minggu.

“Kadang-kadang route itu tidak ada pokok yang perlu dicantas sangat, jadi dia (PBT) mesti cari pokok yang berbahaya. Yang ini perlu diatasi dahulu.

“Ini perlunya satu mesyuarat penyelarasan kepada semua PBT, kita hendak tengok kalau pokok ini contohnya memang dalam keadaan sekarang cuaca sentiasa berubah-berubah, kita pun tidak tahu boleh berlaku ribut bila-bila masa, jadi kita tidak boleh tunggu ada aduan baru kita hendak pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyampaian Sumbangan Deepavali di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput di sini, hari ini.

Pada 28 Oktober lalu, empat sekeluarga termasuk seorang warga emas nyaris maut apabila kereta yang mereka naik dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut petir di Batu Berendam.

Semalam, pokok berusia lebih 80 tahun tumbang dan menghempap rumah penduduk di Kampung Pulau Samak, Batu Berendam dalam kejadian angin kencang kira-kira pukul 5.30 petang.

Tambah Rais, satu mesyuarat penyelarasan berhubung perkara itu bersama semua Yang Dipertua PBT dan Datuk Bandar akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan melaporkan keberadaan pokok-pokok berisiko tumbang yang berada di penempatan masing-masing.

“Apa yang saya harapkan kepada pihak masyarakat, jangan berhenti untuk teruskan aduan anda kalau pokok itu berada memang berdekatan dengan anda dan anda tahu itu pokok yang boleh mengakibatkan kemalangan, kalau ia tumbang.

“Laporkan segera kalau sudah lapor tidak ada tindakan, laporkan terus kepada saya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya