Kawah sedalam 10 meter ancam keselamatan penduduk

Kawah sedalam 10 meter ancam keselamatan penduduk

SUHAIMI Ahmad mengambil gambar lokasi hakisan tanah yang membentuk kawah di Taman LKP, Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kawasan tadahan yang sebelum ini menjadi sistem saliran air hujan di Taman Lipat Kajang Perdana (LKP) di sini, kini bertukar menjadi kawah seluas 2,400 meter persegi dengan kedalaman 10 meter.

Perubahan muka bumi akibat hakisan tanah kritikal itu menjadi mimpi ngeri buat kira-kira 2,000 penduduk perumahan berkenaan, terutama kepada 200 penduduk di Jalan LKP 8 yang tinggal berhadapan dengan kawah tersebut.

Seorang penduduk terjejas, Shukor Abd. Jalil, 59, berkata, insiden yang dikhuatiri membawa kepada tanah runtuh seterusnya mengancam keselamatan masyarakat telah berlarutan hampir setahun enam bulan, meskipun pelbagai aduan telah dibuat.

Jelasnya yang juga seorang jurutera, kos baik pulih yang sepatutnya dianggarkan sekitar RM200,000 telah mencecah jutaan ringgit, berikutan tiada tindakan sewajarnya diambil pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah itu.

“Sebagai seorang jurutera, saya melihat masalah hakisan tanah ini pada awalnya tidaklah terlalu serius, boleh diselesaikan dengan peruntukan hanya kira-kira RM200,000.

“Aduan telah diajukan kepada semua pihak antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Jabatan Penjara kerana taman ini bersebelahan dengan tanah milik penjara.

“MPJ dan JKR ada datang beberapa kali sebelum ini melakukan tinjauan, namun tiada langkah penyelesaian tuntas diambil sehingga menyebabkan ia bertukar menjadi kawah besar yang mengancam kami terutama semasa musim hujan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman LKP, Suhaimi Ahmad, 53, berkata, kes itu telah diutarakan kepada perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Bagaimanapun, ujarnya, sehingga hari ini tiada sebarang keputusan atau tindakan diambil bagi menamatkan kegusaran penduduk, tambahan pula lokasi terjejas terletak bersebelahan dengan taman permainan kanak-kanak.

“ADUN sendiri ada turun melawat melihat hakisan tanah ini beberapa kali. Tetapi tiada kata putus daripada mana-mana pihak tentang kaedah untuk menyelesaikan isu ini.

“Hari demi hari, kawah makin besar dah sudah berlarutan selama setahun enam bulan. Saya sendiri sudah mati akal apabila masalah ini dibangkitkan penduduk sekitar, aduan telah dibuat tetapi hasilnya kita tidak nampak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya