MELAKA: Seorang bekas anggota Rejimen Gerak Khas (komando) Tentera Darat ditemukan maut dipercayai lemas dalam sebuah tasik di Taman Indah, Sungai Udang di sini, semalam.
Mayat Muhammad Azwan Ishak, 42, ditemukan dua remaja berusia 14 tahun yang datang ke situ untuk memancing kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa sebelum ini berkhidmat di Kem Sungai Udang dan baharu sebulan bercerai dengan isterinya.
“Tempat kejadian merupakan sebuah tasik yang terletak di kawasan rizab hutan simpan belakang Taman Indah.
“Siasatan mendapati terdapat mayat lelaki dalam keadaan terapung lebih kurang 30 meter dari dataran. Mayat tersebut disyaki telah lemas dan soal tanya dengan penduduk sekitar tidak mengetahui, bila mangsa datang ke situ.
“Si mati merupakan bekas anggota komando Kem Sungai Udang yang telah diberhentikan kerja. Si mati juga baharu sebulan bercerai dengan isterinya dan kali terakhir berkomunikasi melalui panggilan telefon pada Jumaat lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Arshad, bekas isterinya memaklumkan, mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit.
Jelasnya, mangsa dipercayai bekerja di kandang kambing yang berada bersebelahan lokasi kejadian.
“Punca kematian si mati adalah disebabkan salur darah menyempit dan kematian berkaitan tenggelam (coronary artery disease and immersion related death). Pemeriksaan luaran dan dalaman tidak menjumpai sebarang kecederaan.
“Polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dan siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN