MELAKA: Seramai 28 mangsa daripada tiga keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka terjejas banjir akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, hanya satu PPS dibuka setakat pukul 12 tengah hari tadi iaitu di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor.
Katanya, PPS yang terletak dalam daerah Melaka Tengah itu mula dibuka pukul 9.06 pagi.
“Sebanyak 16 kawasan dikesan terjejas banjir. Kawasan terlibat adalah Kampung Pengkalan Rama, Taman Elok, Taman Panglima, Taman Bukit Serindit, Kampung Pengkalan Rama Tengah, Kampung Air Leleh dan Rumah Awam Banda Hilir.
“Turut terkesan adalah Banda Kaba, Limbongan, Kampung Kolam, Lorong Manggis, Kampung Bukit Belian, Kampung Telok Mas, Ujong Pasir, Taman Alai Perdana dan Pernu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – UTUSAN