ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri di Lubok China di sini, tidak mampu menahan sebak semasa menceritakan tragedi malang menimpa bayi perempuan mereka berusia 11 bulan yang maut didakwa akibat tersedak susu semasa dijaga pengasuhnya, semalam.
Mangsa yang juga anak sulung pasangan berkenaan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidah, 35, berkata, anaknya dihantar ke rumah pengasuh di Ayer Molek dekat sini pada pukul 7.30 pagi seperti kebiasaan, sebelum dimaklumkan berkenaan insiden itu kira-kira pukul 11 pagi.
“Saya biasa hantar anak pukul 7.30 pagi dan ambilnya pukul 5 petang, semalam tiba-tiba dalam pukul 11 pagi, pengasuh hubungi dan memaklumkan anak saya sudah kebiruan dan tidak sedarkan diri mungkin akibat tersedak susu.
“Saya memintanya membawa anak ke klinik kesihatan berhampiran kerana khuatir saya lambat sampai ke rumahnya. Saya bekerja di Sungai Udang manakala suami pula di Pulau Gadong,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, malam tadi.
Tambah Zaidah, pengasuh terlibat telah menjaga anaknya sejak hujung tahun lalu selepas diperkenalkan oleh kenalan.
“Pengasuh memaklumkan anak telah dibawa oleh petugas kesihatan ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan. Saya terus ke Hospital Melaka dan mereka beritahu anak telah meninggal dunia, namun punca kematian masih belum diketahui susulan laporan bedah siasat sedang dalam proses,” ujarnya sayu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian dan memaklumkan, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat. – UTUSAN