KOTA TINGGI: Seorang lelaki di Kampung Tembioh, di sini sanggup meredah banjir dan hujan sejauh enam kilometer menunggang basikal bagi membeli bekalan makanan untuk keluarganya selepas jalan utama serta kampung mereka dilanda sejak empat hari lalu.
Junaidi Hashim, 41, berkata, kawasan perkampungan itu memang mudah dinaiki air termasuk ketika air pasang besar, namun rumahnya terletak di tempat tinggi dan tidak dinaiki air.
“Ekoran rumah saya yang selamat tidak dimasuki air terdapat jiran satu keluarga tiga beranak turut menumpang di rumah kami ketika ini.
“Sebelum ini memang kami sudah belanja awal tapi bekalan makanan sudah semakin berkurangan. Jadi, saya bersama dua anak ambil inisiatif keluar menggunakan basikal membeli stok makanan di pasar raya berhampiran kira-kira enam kilometer,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, media menyertai operasi menyelamat pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, diketuai Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat bersama lima anggota di kampung berkenaan.
Junaidi berkata, pada masa ini mereka tidak akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana masih berasa selamat di kediamannya, namun sentiasa berhati-hati ekoran tidak mahu kejadian rumah penduduk dipecah masuk berlaku.
Dengan adanya dia bersama keluarga sebagai wakil di kampung itu dapat melihat kediaman jiran-jiran lain yang berpindah di PPS.
“Pernah berlaku barang dalam rumah hilang bila semua penduduk pergi ke PPS. Bila adanya kami di sini, sekurang-kurangnya kami ada di kampung boleh tolong jaga lihat rumah penduduk lain.
“Namun jika keadaan betul-betul mendesak, air memasuki rumah kami akan segera hubungi pihak berkuasa tambahan pula rumah kami memang tinggi,” katanya. – UTUSAN