ALOR GAJAH: Seramai tiga penumpang sebuah van jenis Toyota Hiace tersepit dalam kenderaan berkenaan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 207 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Alor Gajah di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Asnizam Kamberon berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi, van dinaiki kesemua mangsa didapati telah melanggar belakang sebuah lori sehingga mengakibatkan bahagian depan kenderaan itu remuk.
Beliau berkata, setakat pukul 3 petang tadi, operasi mengeluarkan mangsa dengan kekuatan 12 anggota masih dijalankan berikutan keadaan van yang terjejas teruk akibat pelanggaran.
“Bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.20 petang, didapati telah berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah van dengan sebuah lori.
“Terdapat tiga mangsa tersepit dalam van, operasi mengeluarkan mangsa sedang dilakukan pasukan bomba,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – UTUSAN