ALOR GAJAH: Selepas lebih 12 jam dilaporkan hilang dipercayai lemas semasa sedang menjaring ikan di sebuah tapak bekas lombong di Solok Menggong di sini, mayat seorang lelaki berketurunan orang asli ditemui anggota bomba kira-kira pukul 9.17 pagi tadi.
Mangsa, Jerrey Juli, 34, ditemui pada kedalaman 4.5 meter oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, seramai 24 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima panggilan kecemasan daripada isteri mangsa pukul 7.09 petang, semalam.
Beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran semasa operasi yang mana aktiviti selaman tidak dapat diteruskan berikutan cuaca terlalu gelap pada waktu malam.
“Pasukan PPDA menyambung operasi SAR pagi tadi dan berjaya menemukan mayat dalam kedalaman 15 kaki selepas dua minit pencarian. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa dilaporkan pergi ke tapak bekas lombong itu bersama dua lagi rakan untuk menjaring ikan.
Jelasnya, mangsa dipercayai turun dari perahu untuk membetulkan jaringnya sebelum lemas kira-kira pukul 6.30 petang, semalam.
“Dua rakannya cuba membantu tetapi gagal dan terus memaklumkan kejadian tersebut di Balai Polis Hutan Percha. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN