ALOR GAJAH: Gara-gara cuba memberhentikan lori yang bergerak sendiri, seorang kontraktor terpaksa menahan sakit selama 30 minit akibat tersepit selepas kenderaan berat itu merempuh sebuah rumah di Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Hafifi Nordin, 37, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Melaka menggunakan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa meletakkan lori tiga tan itu di kawasan lapang di bahu jalan berhadapan rumah berkenaan.
Katanya, lori tersebut tiba-tiba bergerak sendiri ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan wayar telekomunikasi.
“Mangsa kemudiannya mengejar dan berjaya masuk ke dalam lori tersebut lalu menarik brek tangan serta menekan brek kaki. Bagaimanapun, kenderaan itu tetap bergerak dan melanggar rumah berkenaan.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati, bentuk jalan adalah menuruni bukit manakala permukaan jalan kering dan tidak berturap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Arshad, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.54 pagi.
Menurutnya, sepasukan 16 pegawai dan anggota termasuk dari BBP Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi bersama-sama dua jentera dan dua ambulans EMRS.
“Setiba di lokasi pada pukul 12.05 tengah hari, kita dapati telah berlaku nahas membabitkan sebuah lori tiga tan yang merempuh sebuah rumah kosong.
“Akibat kemalangan itu pemandu lori telah tersepit di bahagian tempat duduk dan operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit,” katanya. – UTUSAN