ALOR GAJAH: Empat sekeluarga nyaris maut selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit ladang kelapa sawit di Jalan Melaka Pindah di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, kesemua mangsa terlibat yang terdiri daripada pasangan suami isteri berusia 51 dan 52 tahun; anak lelaki, 14, serta anak saudara berumur 23 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dalam nahas kira-kira pukul 10 pagi itu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan ll Nazri Mat Rais berkata, panggilan kecemasan diterima pihaknya pukul 10.07 pagi.
Ujarnya, sepasukan 10 pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kemalangan bersama sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pasukan tiba kira-kira 12 minit kemudian dan mendapati sebuah kereta terperosok dalam parit di sebuah ladang sawit.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat, namun mengalami cedera ringan di beberapa bahagian anggota badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Nazri, keluarga berkenaan sedang dalam perjalanan dari Machap Umboo menghala ke Alor Gajah.
“Kesemua mangsa dihantar ke hospital menaiki ambulans Kementerian Kesihatan dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN