Anggota tentera maut pulang majlis tahlil

Anggota tentera maut pulang majlis tahlil

MUHAMAD SOLLEH Ramli yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat kemalangan di Lebuh SPA berhampiran Bertam Putra, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang anggota tentera maut dirempuh sebuah kereta di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Bertam Putra dekat sini ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghadiri majlis tahlil, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Muhamad Solleh Ramli, 33, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang bertugas di Kem Terendak telah terjatuh akibat melanggar seekor anjing.

Katanya, kemudian datang kereta jenis Toyota Fortuner milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun yang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Sungai Udang menghala ke Ayer Keroh melalui Lebuh SPA telah terjatuh terseret di kawasan Bertam Putra selepas melanggar seekor anjing.

“Pemandu Toyota Fortuner yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa yang berada di lorong kiri jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Christopher, mangsa disahkan maut di tempat kejadian susulan impak pelanggaran tersebut, sementara pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu tersebut telah dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah bagi tujuan analisa Jabatan Kimia.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan notis Pol. 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN