MELAKA: Sebuah van jenazah yang sedang membawa jenazah terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Ayer Keroh menghala Plaza Tol Ayer Keroh di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.00 petang itu, kemalangan berkenaan melibatkan van jenazah, ambulans dan lori.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan milik Kementerian Kesihatan itu dalam perjalanan dari Hospital Melaka ke Selangor, sementara lori berkenaan pula menghala ke Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan mendapati lori, van jenazah dan ambulans datang dari arah yang sama iaitu dari Bandar Melaka menghala ke Plaza Tol Ayer Keroh. Ketika kejadian, van jenazah sedang membawa jenazah untuk dihantar ke Selangor dan diiringi oleh ambulans.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu lori berusia 61 tahun telah membrek kerana kenderaan yang berada di hadapannya berhenti untuk memberi laluan kepada sebuah lagi ambulans yang hendak keluar simpang dari arah Jalan Padang Keladi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Arshad, susulan tindakan itu, pemandu van jenazah yang berada di belakang lori turut membrek, menyebabkan ambulans pengiring tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang van jenazah tersebut.
Katanya, impak pelanggaran menyebabkan van jenazah menggelongsor ke hadapan dan melanggar belakang lori jenis Mitsubishi berwarna putih. – UTUSAN