KUALA TERENGGANU: Seramai 570 mangsa banjir ditempat di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri ini sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Jumlah mangsa banjir itu meningkat berbanding seramai 326 mangsa daripada 87 keluarga setakat petang semalam.
Menerusi maklumat daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kemaman menempatkan mangsa paling ramai iaitu 286 orang.
Daerah Kuala Nerus turut terjejas dengan gelombang pertama Monsun Timur Laut apabila 209 mangsa kini menghuni dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Bukit Nanas.
Di Kuala Terengganu, dua PPS terawal yang dibuka Jumaat lalu di SK Chendering dan SK Atas Tol masih kekal beroperasi menempatkan seramai 54 orang mangsa.
Mangsa banjir di Setiu pula menurun dengan 21 orang berada di Balai Raya Kampung Bukit Nenas dan Surau Mak Bakas manakala PPS SK Kampung Seri Kasar telah ditutup 10.45 pagi tadi.
Bilik Gerakan Bencana Daerah turut melaporkan hujan lebat di beberapa daerah dengan ramalan hujan berterusan melebihi 60mm sehingga lewat petang ini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. – UTUSAN