Dua keluarga tinggal di rumah sewa nyaris ditimbus tanah runtuh - Utusan Malaysia

Dua keluarga tinggal di rumah sewa nyaris ditimbus tanah runtuh

KEADAAN runtuhan tanah dari atas kawasan tinggi hampir menimbus dua buah rumah sewa yang didiami dua keluarga di Kampung Mela di Lipis, Pahang. - FOTO /IHSAN APM LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Dua buah keluarga berdepan detik cemas nyaris ditimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika hujan lebat di rumah sewa mereka di Kampung Mela di sini.

Seorang pekerja balak, Abdul Aziz Idris, 51, berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 7.30 petang semalam ketika dia dan keluarganya sedang berehat menonton televisyen selepas menunaikan solat Maghrib.

“Ketika kami berada dalam rumah hujan begitu lebat dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur dan anak mulai menjerit ketakutan.

“Saya bergegas ke dapur dan mendapati pintu dapur terbuka dengan sebahagian runtuhan tanah sudah masuk ke dalam rumah serta masih ada tanah hampir menutupi ruang belakang,” katanya di Kampung Mela di sini hari ini.

Cerita Abdul Aziz lagi, dia segera membawa isteri dan tujuh anaknya keluar dalam keadaan masih hujan termasuk dokumen penting kerana bimbang runtuhan tanah berulang kemungkinan menghempap keseluruhan rumah.

“Saya membawa keluarga menumpang bermalam di rumah ibu di Kampung Limau Purut terletak berdekatan sebelum kerja pembersihan dan membaikpulih diselenggarakan oleh pemilik rumah berkenaan,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, kejadian itu pertama kali berlaku sejak dia menyewa rumah di bawah kawasan berbukit dua tahun lalu dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.

Dalam pada itu, jiran Abdul Aziz yang menyewa rumah bersebelahan, Mohamad Sayuti Zulkafli, 30, juga mengalami nasib yang sama berkata, ketika kejadian dia juga berada di ruang tamu bersama tiga orang anaknya menonton televisyen.

“Kejadian ini sama seperti jiran saya, Abdul Aziz, apabila tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat dari arah dapur dan keseluruhan rumah sewa ini bergegar di bahagian bumbung dan atap.

“Anak yang duduk berdekatan mula menangis ketakutan dan saya bangun terus ke dapur dan melihat sebahagian tanah sudah memenuhi ruang dapur dan air hujan mengalir masuk,” katanya.

Pekerja ladang sawit itu berkata, dia juga membawa isteri dan anaknya keluar dan tinggal buat sementara di rumah kakaknya yang terletak di Taman Selinsing, Kampung Mela.

Tambahnya, kejadian itu merupakan pertama kali ditempuh bersama keluarganya cukup menakutkan berkemungkinan berpunca aliran air menuruni bukit ketika hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan tanah runtuh.

“Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk jiran saya selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dan berharap dapat kembali semula ke rumah sewa ini selepas kerja pembersihan hari ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya