MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini sebulat suara meluluskan Bajet 2023 Melaka yang bertemakan, ‘Teguh Bersama Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Akujanji, Mensejahtera Rakyat’.
Dalam sesi undian selepas ucapan penggulungan pada Persidangan Keempat Penggal Pertama DUN Melaka Ke-15 menyaksikan, 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk blok pembangkang menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 itu.
Kelulusan penuh tanpa pindaan membolehkan Enakmen Perbekalan 2023 diwarta untuk dilaksanakan.
Dua wakil rakyat yang tidak hadir ketika pengundian ialah Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) kerana menunaikan umrah, manakala Datuk Muhammad Jailani Khamis (BN-Rembia) pula atas faktor kesihatan.
Bajet 2023 Melaka dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali Isnin lalu dengan 10 ADUN menyertai sesi perbahasan.
Sulaiman berkata, semua pandangan dan hujahan dikemukakan wakil rakyat ketika berbahas adalah baik dan menjurus ke arah usaha pemulihan ekonomi, kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
“Atas nama perpaduan, marilah kita semua ketepikan perbezaan, kita suburkan nilai dengan mencambahkan lebih banyak persamaan, demi menuju Melaka yang makmur dan sentiasa mendapat keberkatan tuhan,” katanya ketika ucapan penggulungan Bajet 2023 Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Kerajaan negeri meneruskan inisiatif bajet lebihan dengan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM455.43 juta manakala perbelanjaan pembangunan pula diperuntukkan sebanyak RM82 juta.
Beberapa inisiatif lama dikekalkan, ditambah baik dan terdapat juga beberapa inisiatif baharu bertujuan menjaga aspek kebajikan rakyat merangkumi semua spektrum seperti peniaga kecil, nelayan, petani, asnaf, penggiat pelancongan dan belia. – UTUSAN