MELAKA: Padah berlumba secara haram di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini kira-kira pukul 4.18 pagi tadi, dua remaja lelaki yang salah seorangnya pelajar sekolah maut selepas terlibat kemalangan.
Mangsa, Muhammad Amirul Hadi Norizan, 15, dan Khairul Nizam Sham, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas dipercayai berlaku apabila mangsa yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha Y15ZR telah bertembung ketika lumba haram.
“Hasil siasatan Muhammad Amirul sedang berlumba dari arah Tangga Batu, manakala Khairul Nizam dari Tanjung Bruas.
“Kedua-dua mangsa bertembung sesama sendiri dan kedua-duanya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Christopher, siasatan pegawai penyiasat di lokasi kemalangan mendapati, keadaan jalan adalah lurus dan rata, manakala cuaca dalam keadaan baik serta kawasan diterangi lampu jalan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN