SEREMBAN: Sebanyak lima buah rumah separuh kekal di Jalan Tun Dr. Ismail berdekatan Sekolah Tinggi Chung Hwa dekat sini musnah dalam kejadian kebakaran pagi ini.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 8.44 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati terdapat tiga buah rumah di bahagaian hadapan terbakar 100 peratus manakala di bahagian belakang terdapat dua buah rumah yang terbakar 80 peratus.
“Saya difahamkan, kebanyakan penghuni adalah warganegara asing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun. Pihak bomba mengambil masa lima minit untuk memadamkan kebakaran.
“Kami juga telah menyelamatkan seorang lelaki berbangsa Cina dalam lingkungan umur 73 tahun dan dia mempunyai masalah kaki yang lemah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Tambah beliau, operasi memadamkan kebakaran melibatkan seramai 40 orang anggota bomba dari Balai Bomba Seremban dan Balai Bomba Seremban 2.
“Jumlah keseluruhan kerugian akibat kebakaran masih belum diketahui dan setakat ini, tiada individu yang dilaporkan cedera dalam kejadian,” katanya.-UTUSAN.