Kanak-kanak lemas di Pantai Puteri disahkan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lemas di Pantai Puteri disahkan meninggal dunia

ANGGOTA bomba dan penyelamat serta orang awam mengangkat mayat mangsa yang lemas di Pantai Kundor, Tangga Batu, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kanak-kanak yang dilaporkan lemas di Pantai Puteri di sini kira-kira pukul 3.30 petang tadi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas mayatnya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar pukul 6.25 petang.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, mangsa, Amirul Asyraff Fakhrul, 7, semasa kejadian dipercayai sedang mandi di pantai berkenaan bersama tiga lagi rakan, sebelum dirinya hilang dari pandangan.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jarak 30 meter dari pantai oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Maritim Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), komuniti nelayan dan pengusaha ski jet atas usaha pencarian pada petang ini.

“Pihak kami juga ingin menasihatkan khususnya kepada pengunjung di pantai peranginan supaya menangguhkan aktiviti di pantai ketika cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kemeriahan hujung minggu di Pantai Puteri bertukar cemas selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai lemas kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Tangga Batu tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 3.50 petang bagi melakukan operasi SAR.

Difahamkan kanak-kanak itu keluar bermain bersama tiga rakannya selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya