MELAKA: Bayi lelaki berusia setahun lima bulan, Muhammad Zafran Ilman Mohd. Syazwan yang dihempap pokok ru di Pantai Puteri di sini petang semalam, dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Berita hiba itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi melalui laman sosial Facebooknya sebentar tadi.
“Jam 1.30 pagi kak Ina mendapat panggilan daripada pihak Hospital Melaka bahawa adik Muhammad Zafran Ilman bin Mohd. Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, malang sememangnya tidak berbau apabila seorang bayi lelaki berusia setahun lima bulan dan ibunya cedera dihempap sebatang pokok ru yang tumbang di Pantai Puteri kira-kira pukul 6.30 petang.
Pada Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pemandangan pantai terpanjang di Melaka, Pantai Puteri yang suatu ketika dahulu indah dengan 20 baris pokok ru dan menjadi lokasi tumpuan aktiviti perkelahan, kini kelihatan cacat dengan sisa batang pokok yang tumbang akibat hakisan pantai.
Tinjauan di pantai sepanjang 2.5 kilometer itu mendapati, lebih 15 batang pokok ru dibiarkan mereput di pesisiran pantai dan pengunjung terpaksa berkelah dalam suasana yang menyedihkan serta berbahaya itu. – UTUSAN