Pelajar MRSM maut, ibu parah - Utusan Malaysia

Pelajar MRSM maut, ibu parah

NAHAS dua buah kenderaan yang mengorbankan seorang pelajar MRSM Muadzam Shah, Pahang dalam kejadian di Kilometer 40, Jalan Seremban -Tampin, berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau malam semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala, ibunya cedera parah selepas terbabit dalam nahas di Kilometer 40, Jalan Seremban -Tampin, berhampiran Rumah Rakyat Kendong, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, mangsa, Shazman Sabarudin, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ibunya pula, Husnirazulia Mohd. Yudin, 47, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah, Hospital Tampin.

Menurut Hazri, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun yang dinaiki kedua-dua mangsa dan sebuah kereta Proton Saga dinaiki lima individu.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian dalam kerja-kerja penurapan jalan arah Tampin menghala ke Rembau.

“Keadaan jalan lurus, tidak rata, tidak berturap, berbatu halus-halus, mempunyai satu lorong sehala. Cuaca malam, baik, tidak hujan, berlampu samar-samar. 

“Pemandu kereta Perodua Axia memandu dari arah Tampin menghala ke Rembau dan sebaik tiba di tempat kejadian telah hilang kawalan disebabkan permukaan jalan tidak berturap dan tidak rata berpusing dan masuk laluan Proton Saga yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hazri, mayat mangsa telah di bawa ke Unit Forensik untuk bedah siasat pada pagi ini.

Katanya, pemandu dan penumpang di dalam kereta Proton Saga berkenaan iaitu seorang lelaki dan empat perempuan dirawat di zon kuning hospital yang sama.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Amer Izham Mokhtar berkata, dalam kejadian berkenaan, pihaknya mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan pemandu kereta Proton Saga yang tersepit di bahagian kaki.

“Ketika kami tiba terdapat dua buah kenderaan yang terbabit dalam nahas itu, pemandu kereta jenis Proton Saga masih tersepit di dalam kenderaan. Tiga lagi penumpang dalam kenderaan yang sama telah dikejarkan ke hospital berhampiran.

“Sementara itu, penumpang belakang kereta Perodua Axia iaitu pelajar MRSM Muadzam Shah, Pahang disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian. Ibu mangsa pula sudah dikejarkan ke hospital susulan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu kereta iaitu lelaki yang merupakan abang kepada mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya