LUMUT: Hasrat seorang wanita untuk pulang ke kampung dan menghantar kuih raya kepada ibunya tidak kesampaian setelah terlibat dalam kemalangan petang kelmarin.
Malah, kemalangan tragis itu turut meruntun hati apabila kesemua kuih yang dibawanya itu berterabur, hancur berkecai di dalam kereta.
“Saya lihat kuih raya, kuih bahulu yang Kak Cik beli untuk emak di Gopeng tengah hari sebelum kemalangan berterabur dalam kereta, sayu hati ini, tak dapat nak gambarkan,” kata adik kepada mangsa kemalangan, Nur Syaerah Abd. Rahman.
Nur Syaerah berkata, apabila tiba di lokasi kemalangan, dia panggil nama anak saudara dan kakaknya, Nurdiana Abd Rahman berulang kali, tetapi, tiada sahutan, malah, badan mereka kaku.
“Anak bongsu kakak ketika itu sedar dan menangis lalu emak terus mendukungnya,” katanya.
Nur Syaerah, 29, adalah adik kepada Nurdiana, 36, yang terbunuh selepas kereta Proton Persona dipandunya bersama dua anak perempuannya bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Kampung Kayan, Sitiawan, petang kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang itu, anak sulung Nurdiana, Fatin Nurjannah Mohd Ridzuan, 4, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM), pukul 9 pagi semalam.
Seorang lagi anak perempuan Nurdiana berusia dua tahun cedera ringan dan dibenarkan keluar hospital.
Nur Syaerah berkata, dia dihubungi suami Nurdiana memaklumkan kemalangan itu kira-kira pukul 5.50 petang, sebelum terus menghubungi ibu bapanya, Abd Rahman Jais, 66, dan Noraini Abd Rahman, 66, yang ketika itu berada di kebun di Lekir.
Ketika itu, abang iparnya yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberitahu Nurdiana dan Fatin Nurjannah sudah tidak sedarkan diri sebelum mereka terus ke lokasi kejadian.
Ketika ditemui pemberita di rumah ibunya di Batu 9 1/2 Lekir, di sini Nur Syaerah memaklumkan ketika kejadian keluarga kakaknya yang lebih mesra dipanggil ‘Kak Cik’ dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 8 Lekir.
“Sebelum itu, keluarga Kak Cik pulang ke kampung abang ipar di Lenggong pada Selasa dan kemudian ke Kampar untuk mengambil kereta pada hari kejadian.
“Suami Kak Cik memandu kereta Proton Wira mengekori Proton Persona yang dipandu isterinya bersama dua anak tetapi jarak mereka agak jauh sebelum ada orang menghubungi abang ipar memaklumkan kemalangan itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Abd Rahman, 66, mengakui kemeriahan menjelang Aidilfitri sudah tidak lagi dirasai kerana kehilangan dua insan tersayang itu dugaan berat buat mereka sekeluarga tetapi menerimanya dengan reda.
“Luluh hati apabila melihat jasad anak di depan mata sebaik saja tiba di lokasi kemalangan,” jelasnya.
Ibu Nurdiana, Noraini pula memberitahu arwah sudah membuat persiapan raya termasuk telah siap membelikan pakaian untuk kedua-dua anaknya itu tetapi tidak kesampaian. –UTUSAN ONLINE