Pelajar maut kemalangan ke sekolah - Utusan Malaysia

Pelajar maut kemalangan ke sekolah

SEORANG pelajar berusia 16 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dekay Persiaran Jubli Perak di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perjalanan seorang pelajar lelaki ke sekolahnya bertukar tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Persiaran Jubli Perak di sini, pagi tadi.

Kejadian pukul 8.05 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 16 tahun menunggang motosikal Yamaha 135 LC bersendirian dipercayai menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24 Shah Alam.

 Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa dikatakan hilang kawalan setibanya di jalan arah Persiaran Kemajuan ke Bulatan Andalas itu.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa kemudian terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

“Remaja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa yang memakai topi keledar dipercayai tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal berkenaan milik ibunya.

 Jelas Mohd. Iqbal, mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Justeru, beliau meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767 atau balai polis berdekatan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN