SEMPORNA: Dua remaja ditemukan lemas apabila jeti tempat mereka melepak roboh dalam kejadian berhampiran dengan Pos PGA Gading-Gading semalam.
Dalam kejadian pukul 4.17 petang itu, dua remaja lelaki berusia 14 dan 19 tahun yang bukan warganegara itu ditemukan lemas kira-kira 10 minit kemudian.
Ketua Polis Daerah, Superitenden Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, dua daripada lapan mangsa itu dilaporkan hilang selepas jeti tempat mereka melepak roboh.
Namun, enam mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk manakala, dua mangsa hilang sebelum ditemukan lemas.
“Kedua-dua mangsa cuba diberi bantuan penafasan tetapi disahkan meninggal dunia pada pukul 5.30 petang oleh doktor bertugas pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Farhan berkata, siasatan mengenai insiden jeti runtuh itu sedang dilakukan dan polis menasihatkan semua jawatankuasa kampung supaya membuat pemeriksaan ke atas jeti di kampung masing-masing bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.- UTUSAN