Hujan turun terlampau lebat punca banjir kilat, lumpur di Janda Baik - Utusan Malaysia

Hujan turun terlampau lebat punca banjir kilat, lumpur di Janda Baik

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hujan terlampau lebat awal pagi semalam merupakan antara punca utama kejadian banjir yang melanda Janda Baik di Bentong semalam. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hujan lebat di kawasan hulu mengakibatkan berlakunya limpahan air dari sungai berhampiran.

“Ia juga lanjutan daripada keadaan sungai yang cetek disebabkan banjir besar pada. 17 Disember tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya di sini. 

Semalam, sebanyak 140 buah rumah melibatkan 450 mangsa di Janda Baik dikejutkan dengan kejadian kepala air yang memasuki rumah dan menghanyutkan harta-benda termasuk kereta sehingga dibawa arus masuk ke dalam sungai.

Insiden air deras bersama.lumpur itu berlaku pada pukul 3 pagi ketika hujan lebat melanda kawasan itu.

Wan Rosdy berkata, cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan taburan hujan awal pagi itu di kawasan tersebut adalah sebanyak 19.5 milimeter dalam tempoh tiga jam.

“Kadar hujan 19.5 milimeter dalam tempoh tiga jam ini dikategorikan sangat lebat kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10 milimeter,” katanya. 

Menurutnya lagi, susulan kejadian banjir itu, beliau telah mengarahkan beberapa tindakan dilaksanakan dengan kadar segera khususnya bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.

“Sebagai langkah awal, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral yang diselaraskan oleh kerajaan negeri diagihkan kepada mangsa yang terlibat. 

“Saya telah minta pek makanan dan bantuan ini ditambah dari masa ke masa dengan kadar segera,” katanya.

Selain itu menurutnya, bagi membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah, Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya dari Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin.

“Ketika ini kerajaan negeri dan agensi yang terlibat sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya berharap agar semua mangsa yang terlibat tabah mendepani ujian ini. Insya-Allah, kerajaan negeri akan membantu semua yang terkesan dengan sehabis baik.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga mereka yang terlibat dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya