KEMAMAN: Belum reda kesedihan dengan pemergian suami akhir tahun lalu, kini seorang warga emas terpaksa melalui satu lagi kehilangan apabila cucunya, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan maut dalam nahas jalan raya di Perak, tengah malam tadi.
Rosnah Abu Bakar, 65, yang masih lagi terkejut dengan berita sedih itu tidak menyangka mangsa pergi sekelip mata kira-kira seminggu selepas mereka berkumpul pada Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, Ahmad Naim Najmi yang mesra dipanggil Along merupakan cucu pertama dan akrab dengannya dan arwah suami, Abdullah Sulong, 75.
“Along selalu tidur di rumah dan sejak suami meninggal Disember lepas, dialah tempat saya berkongsi cerita.
“Dia berjanji mahu menemani saya selepas tamat peperiksaan semester bulan depan, tetapi hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Penunjuk Kijal di sini hari ini.
Ahmad Naim Najmi merupakan antara lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kes kebakaran kereta di Kilometer 246, Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara.
Sementara itu, adik arwah, Ahmad Naqiu Najmi, 14, berkata, abangnya tidak menunjukkan perubahan sikap sepanjang pulang beraya baru-baru ini.
“Perangainya seperti biasa termasuk menasihatkan kami adik beradik supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Jenazah Ahmad Naim Najmi akan dikebumikan berdekatan pusara datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penunjuk, Kijal selepas disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS selepas solat Isyak hari ini. –UTUSAN ONLINE