KUANTAN: Seorang warga emas ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah jenis pangsapuri di Medan Warisan, Tanah Putih di sini, pukul 3.15 petang tadi.
Mangsa, Ramle Mohamad, 64, dipercayai terperangkap dalam bilik tidur di tingkat dua pangsapuri berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata, mangsa yang terperangkap telah disahkan meninggal dunia akibat melecur di bahagian badan dan muka.
Menurutnya, mangsa terperangkap di dalam bilik berkeluasan sekitar 10×10 kaki persegi dengan anggaran kebakaran sekitar 80 peratus.
“Pasukan penyelamat mendapat panggilan kecemasan pada pukul 3.14 petang dan setibanya di lokasi mendapati kebakaran tersebut membabitkan seorang lelaki dewasa telah terperangkap.
“Usaha menyelamat itu dilakukan dengan memecahkan pintu hadapan rumah untuk mencari dan menyelamatkan mangsa serta membuat operasi pemadaman dengan kadar segera.
“Sejurus kemudian, mangsa berjaya dikeluarkan, namun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, operasi menyelamat menggunakan kekuatan seramai 32 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dengan menggunakan dua buah jentera.
Tambah beliau, mangsa yang meninggal itu telah diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital bagi urusan dan tindakan selanjutnya. –UTUSAN ONLINE