Tiga sekeluarga maut, kemalangan tiga kenderaan 

Tiga sekeluarga maut kemalangan tiga kenderaan 

PASUKAN penyelamat berusaha mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dalam kenderaan jenis Perodua Kancil dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 128 Jalan Kuantan - Johor Bahru, di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Gara-gara kecuaian pemandu sebuah van yang terbabas ke laluan bertentangan, sepasang suami isteri dan anak perempuannya meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 128 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini, hari ini. 

Pertembungan itu dipercayai membabitkan tiga kenderaan iaitu lori jenis Nissan, kenderaan khas van Daihatsu (Ninjavan) dan Perodua Kancil kira-kira pukul 1.30 petang ini. 

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu Perodua Kancil, Nur Rawiyah Abu Samah, 25, dan dua penumpangnya iaitu bapa Nur Rawiyah, Abu Samah Mohamed, 74, dan ibunya, Saripah Ab. Malek, 59.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, semua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit dalam Perodua Kancil dinaiki mereka. 

Menurutnya, anak kepada Nur Rawiyah berusia setahun, Muhammad Harraz Mikhael Shafiq Hayqal, tidak mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan awal mendapati kenderaan khas Ninjavan yang dalam perjalanan dari Leban Chondong ke arah Kuala Rompin hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan hingga menyebabkan pertembungan membabitkan sebuah lori dan kereta.

“Kemalangan dipercayai berlaku disebabkan kecuaian pemandu van kerana gagal mengawal kenderaannya dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Pemandu lori jenis Nissan, Mohd. Nazri Mohamed, 49, dari Kampung Perepat, dekat sini, hanya mengalami luka ringan manakala pemandu Ninjavan, Syed Muhammad Fikri Sy Zainal Abidin, 24, dari Kampung Tengah, Kuantan patah bahu dan cedera di kaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Kuala Rompin, untuk tindakan lanjut manakala mereka yang cedera turut menerima rawatan.

Katanya, kemalangan yang meragut tiga nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, dua pegawai dan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin terlibat dalam operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Kancil berkenaan. 

Katanya, peralatan khas digunakan dalam operasi itu memandangkan mangsa berada dalam kenderaan yang remuk kesan rempuhan kuat dari hadapan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya