Tidak pulang berbuka rupanya maut kemalangan - Utusan Malaysia

Tidak pulang berbuka rupanya maut kemalangan

JUSOH Abd. Rahman menahan sebak apabila melihat mayat anaknya, Mohammad Saufi yang maut dalam kemalangan dengan bas ekspres di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kuala Nerus. - TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penantian seorang bapa untuk berbuka puasa bersama anak lelakinya tidak kesampaian apabila Mohammad Saufi Jusoh, 34, terbunuh dalam kemalangan dengan bas ekspres di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kuala Nerus, semalam.

Jusoh Abd. Rahman, 78, berkata, berita sedih kehilangan anak kelima  itu diketahui selepas tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. 

“Kami sekeluarga segera ke bahagian kecemasan HSNZ selepas menerima panggilan Mohamad Saudi terbabit kemalangan, tetapi namanya tiada dan terkejut apabila diberitahu mayat anak saya ada dalam kenderaan polis yang baru tiba. 

“Saya memang menunggu arwah sebab kami sekeluarga biasa berbuka bersama di rumah dan ingatkan dia cuma lewat, rupa-rupanya anak saya pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui di HSNZ semalam. 

Mohammad Saufi, seorang juruteknik pendingin hawa maut di tempat kejadian bersama tiga rakan sekerjanya iaitu Syed Mohd. Syukri Tuan Yahya, 36; Mohd. Shahlan Mat Saat, 37, dan Kairol Arman Kamrudin, 38, apabila van dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres. 

Mayat mangsa-mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kuala Nerus semalam.

Menurut Jusoh, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat bercakap dengan arwah sebelum keluar bekerja di sebelah pagi. 

Sementara itu, Che Rokiah Che Long, 65, berkata, hatinya tidak tenteram apabila Mohd. Shahlan tidak sampai ke rumah selepas pukul 5 petang sebagaimana kebiasaan. 

Katanya, anaknya yang sudah berkahwin dan tinggal di Kampung Padang Mengkuang di Bukit Payung, Marang itu lazimnya meletakkan motosikal di rumahnya di Kampung Losong Haji Mat Shafie di sini sebelum keluar bekerja dengan menaiki van syarikat. 

“Semasa saya dan suami mahu menjamah  makanan, menantu yang hamil tiga bulan memaklumkan anak saya terlibat kemalangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya