KOTA BHARU: Seorang warga emas yang juga ibu tunggal terkedu melihat rumah disewanya di Jalan Dalam Kota, Lundang di sini musnah dalam kebakaran, dipercayai akibat cucunya bermain api dengan membakar kotak.
Difahamkan, kejadian pada pukul 1.40 petang berlaku selepas kotak yang dibakar terkena tilam lama yang diletak di belakang rumah.
Maimun Abdul Rahman, 51, berkata, ketika itu dia keluar bersama anak dan menantu untuk membeli barangan bagi menyiapkan kuih-muih ditempah pelanggan di Kubang Kerian di sini.
“Selepas diberitahu rumah terbakar, saya terus bergegas pulang. Saya amat sedih dan tidak dapat menerima kenyataan rumah yang sewa sejak setahun lalu itu sudah hangus terbakar.
“Saya tidak tahu hendak kata apa kerana kejadian ini dikatakan berpunca daripada cucu sendiri yang bermain api dengan membakar kotak,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Maimun, dia bersama 11 orang ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang, malah, kuih-muih tempahan pelanggan bernilai RM5,000 yang sepatutnya dihantar kepada pelanggan malam ini turut musnah.
Mereka kini menumpang di sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam berhampiran lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Mohd. Ridzuan Ali berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.54 petang sebelum tiga jentera ke lokasi bersama 28 anggota.
“Ketika tiba di lokasi, rumah itu sudah 70 peratus terbakar. Api berjaya dikawal kira-kira pukul 2.37 petang. Punca dan kerugian pula masih dalam siasatan,” katanya. –UTUSAN ONLINE