Sembilan keluarga hadapi detik getir, suram rumah dibadai ribut - Utusan Malaysia

Sembilan keluarga hadapi detik getir, suram rumah dibadai ribut

ABDUL Rahman Ahmad menunjukkan bahagian bumbung rumahnya yang diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut di Kampung Tanjung Radin, Pendang semalam. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Sembilan keluarga dari lima kampung di daerah ini berhadapan detik getir dan suram apabila rumah didiami mereka rosak akibat dibadai ribut petang semalam.

Kejadian pada pukul 4.40 petang itu turut merosakkan persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Mangsa ribut, Abdul Rahman Ahmad, 70, dari Kampung Tanjung Radin di sini berkata, ujian bulan puasa kali ini berat apabila kediaman yang menjadi tempat dia dan lima lagi ahli keluarga berteduh musnah dalam kejadian ribut itu.

“Ketika kejadian saya sedang membersihkan air hujan yang tempias bersama isteri, Sopiah Yaakob, 68, di hadapan rumah yang dijadikan tempat berehat manakala anak perempuan sulung berumur 40 tahun pula memasak di dapur untuk persiapan berbuka.

“Tiba-tiba saya terdengar satu deruman yang kuat menghampiri kediaman dan dalam sekelip mata menerbangkan bumbung rumah yang telah dibina sejak 38 tahun lalu,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Radin di sini hari ini.

Katanya, dia tidak sempat melaungkan azan seperti mana yang selalu diperingatkan oleh arwah bapanya kerana terkejut dan dalam masa sama hanya terfikirkan keselamatan anak bongsu lelaki berumur 16 tahun dan dua cucunya masing-masing berusia tiga dan empat tahun yang berada di ruang tamu.

“Semasa bergegas memasuki rumah, saya dapati anak lelaki dan cucu kebasahan serta menangis dalam ketakutan, tetapi, bersyukur mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Akibat bumbung diterbangkan ribut, air hujan membasahi rumah dan merosakkan perabot, perkakas elektrik serta juadah berbuka yang sedang disiapkan anak,” ujarnya.

Katanya, hatinya terasa pilu mengenangkan nasib anak dan cucunya menjalani kehidupan pada bulan puasa dan hari raya tanpa rumah.

“Ini merupakan kejadian ribut yang pertama dialami penduduk di kampung ini dan ia meninggalkan kesan trauma kerana terjadi ketika menjalani ibadah puasa dan menyambut hari raya.

“Mungkin sambutan lebaran tahun ini lebih suram dari semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu ekoran terpaksa menumpang di rumah saudara selepas kediaman musnah dalam kejadian petang semalam,” ujarnya.

Selain rumah Abdul Rahman yang paling teruk alami kerosakan, tiga buah rumah penduduk di kampung itu turut rosak di bahagian bumbung bersama dua buah rumah di Kampung Belakang Pekan Pendang dan masing-masing sebuah di Kampung Sukamari, Kampung Alor Parit dan Kampung Rambai.

Kejadian ribut petang semalam juga turut menjejaskan lebih kurang 150 peniaga di bazar Ramadan di Jalan Sungai Tiang di sini apabila kesemua hasil jualan mereka rosak selepas khemah diterbangkan angin. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya