JOHOR BAHRU: Penduduk di Jalan Kelabu 3, Taman Pelangi, di sini kini hidup dalam kerisauan apabila berlaku hakisan tanah di kawasan kediaman mereka dipercayai akibat hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu.
Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wong memberitahu, dia dikejutkan dengan bunyi yang kuat ketika sedang berada di bahagian dapur rumahnya selain anjing peliharaannya turut menyalak tanpa henti seperti mahu memberitahu sesuatu.
“Apabila keluar dari rumah, saya mendapati struktur di bahagian belakang rumah sudah runtuh menjadi serpihan. Ini merupakan kali pertama perkara itu berlaku sepanjang lebih 30 tahun saya menetap di sini.
“Hujan sangat lebat ketika itu selain tiupan angin yang kencang, jadi ada kemungkinan perkara itu menyebabkan keruntuhan tebing berkenaan berlaku,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambahnya, tebing berkenaan yang berada bersebelahan kediamannya itu memang sudah retak sebelum ini dan telah dibaiki oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebelum ini.
“Saya tidak tahu mahu buat apa ketika ini kerana bimbang jika saya alihkan batu runtuhan itu, keadaan tebing akan jadi lebih teruk, jadi, buat masa ini, saya hanya menutup kawasan berkenaan menggunakan kanvas.
“Saya juga terpaksa tinggal di rumah ini dengan keadaan pagar dinding yang terbuka, tetapi, mujurlah saya mempunyai dua ekor anjing yang boleh membantu mengawal keselamatan di rumah,” jelasnya yang bimbang rumahnya dimasuki pencuri disebabkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya MBJB ketika dihubungi memaklumkan tebing berkenaan dibina tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
“Sebarang bentuk pembinaan seharusnya dibuat selepas mendapat kelulusan daripada MBJB bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku. Namun, berdasarkan rekod kami, dinding berkenaan tidak mempunyai asas yang kukuh ketika dibina.
“Kami hanya dapat membantu melakukan kerja-kerja pembersihan setelah mendapat permit kebenaran kelak,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE