Kanak-kanak maut digilis kereta - Utusan Malaysia

Kanak-kanak maut digilis kereta

AISYAH AMANI AMIRRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut digilis kereta ketika cuba menahan kenderaan tersebut yang mengundur dalam kejadian di Kampung Keledang Luar di Tawar di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa,  Aisyah Amani Amirrudin, 10, dikatakan masuk ke dalam kereta milik datuknya jenis Proton Wira dan bermain di tempat duduk pemandu sebelum dipercayai menurunkan brek kereta tersebut.

Mangsa yang panik apabila kereta bergerak secara mengundur terus keluar dan berlari ke arah belakang untuk menahan kereta itu daripada bergerak.

Tindakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK)  Tawar di sini bagaimanapun menyebabkan dia digilis kereta tersebut sehingga mengalami pendarahan pada kepala dan patah tulang tengkorak.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat memberitahu, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah bersama bapa saudara dan tiga adik beradiknya yang lain berusia antara tujuh hingga 15 tahun.

Katanya, kejadian disedari bapa saudara mangsa apabila terdengar jeritan tiga anak saudaranya menyatakan mangsa berada di bawah kereta.

“Bapa saudara bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati anak saudaranya itu sedang berusaha mengeluarkan mangsa sebelum lelaki itu bertindak menolak kereta ke arah hadapan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus menghantarnya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani menggunakan van ambulans swasta milik tempat bapa saudara mangsa bekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shamsudin, pihaknya menerima maklumat daripada Bahagian Kecemasan HSAH pada pukul 5.10 petang semalam memaklumkan mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, nenek mangsa Sukirah Bakar, 62, pula berkata, Aisyah Amani dan tiga lagi adik beradiknya tinggal di rumahnya sejak dua tahun selepas ibu mereka, Dang Faridah Karufun bekerja di Sandakan, Sabah.

“Saya tidak menyangka sejak seminggu ini Aisyah Amani asyik minta saya memeluknya erat setiap pagi ketika menghantarnya ke sekolah, rupa-rupanya itu adalah petanda dia akan pergi dahulu.

“Ketika memeluknya, saya terasa sesuatu yang erat seolah-olah Aisyah tidak mahu melepaskan pelukan itu dan sentiasa mengucapkan terima kasih kerana menghantarnya ke sekolah setiap pagi,” kata Sukirah.

Menurutnya, sebelum ini Aisyah tidak berperangai sebegitu dan keadaannya biasa sahaja. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya