Jumpa mayat selepas 8 jam terbabit nahas - Utusan Malaysia

Jumpa mayat selepas 8 jam terbabit nahas

KEADAAN Proton Wira yang terbabas sebelum bertembung Perodua Alza di Kilometer 108, Lebuh Raya Timur - Barat, Jeli semalam. FOTO IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Dua maut dengan seorang daripada mayat mangsa hanya ditemukan dalam longkang selepas lebih lapan jam kenderaan dinaiki mereka bertembung di Kilometer 108, Lebuh Raya Timur – Barat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, Mohd. Hazlan Ibrahim, 33, memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza ditemukan meninggal dunia serta-merta di lokasi akibat kecederaan parah seluruh badan.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Wira, Muhamad Baijuri Mohd. Shariff, 26, pula ditemukan mati dalam longkang kira-kira 10 meter dari lokasi selepas lapan jam nahas tersebut dilaporkan berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, sebelum nahas, Mohd. Hazlan bersama isteri dan tiga anak berusia setahun hingga lapan tahun dalam perjalanan ke rumah mereka di Jeli.

Katanya, kereta dipandu Muhamad Baijuri dari arah bertentangan dipercayai telah masuk ke laluan MPV dipandu Mohd. Hazlan sebelum kedua-dua buah kenderaan itu bertembung.

“Bagaimanapun, Muhamad Baijuri dipercayai cuba melarikan diri selepas nahas, sebelum dia rebah di dalam longkang kira-kira 10 meter dari lokasi nahas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shuhaimi, mayat Muhamad Baijuri ditemukan oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 7 pagi tadi semasa mereka datang ke lokasi kejadian untuk mengambil barangan milik mangsa.

Sementara itu katanya, isteri dan dua anak Mohd. Hazlan mengalami kecederaan parah sebelum mereka dibawa ke Hospital Jeli dan Hospital Tanah Merah di sini untuk rawatan lanjut manakala anaknya yang berusia setahun tidak cedera.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jeli di sini untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut turut mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian Muhamad Baijuri yang memandu kereta sehingga terbabas sebelum bertembung MPV dari arah bertentangan,” katanya.

Tambah Shuhaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya