KUALA NERUS: Empat maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan empat kenderaan termasuk dengan bas ekspres di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Sungai Ikan di sini petang semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 6.22 petang itu melibatkan sebuah van, bas ekspres, Proton Wira dan Proton Persona.
Kesemua mangsa yang meninggal dunia merupakan penumpang dan pemandu van iaitu Syed Mohd. Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34; Mohd. Sahlan, 37, dan seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.
Manakala, pemandu Proton Wira, Muhammad Fazil Hussin, 33, di samping seorang lagi lelaki yang merupakan penumpang Proton Persona pula cedera parah.
Seorang saksi, Syakirah Baharin, 26, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama 12 penumpang bas ekspres dalam perjalanan ke Jertih, Besut dari Temerloh, Pahang.
Katanya, ketika di lokasi kejadian, van dinaiki keempat-empat mangsa dari arah Setiu itu didakwa cuba memotong Proton Wira tetapi gagal lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Van yang hilang kawalan kemudian merempuh bas yang kami naiki hingga menyebabkan Proton Wira dan Proton Persona turut terlibat dalam nahas itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Azmi Omar berkata, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam van.
Katanya, mayat empat pekerja itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada pukul 9.20 malam.
“Dua mangsa yang cedera parah turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya. –UTUSAN ONLINE