LIPIS: Dua lelaki maut dalam kejadian kemalangan melibatkan sebuah treler di Kilometer 55, Jalan Persekutuan Lama Lipis ke Merapoh dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.05 pagi itu, pemandu treler, Mohamad Syawal Ahmad Basari, 34, beralamat di Kampung Batu 5, Tapah Road, Perak dan kelindan, Mohd. Faizal Mohd. Noor, 35, dari Kampung Kemumin, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa bergerak daripada bandar Kuala Lipis menghala ke arah Merapoh.
“Apabila sampai di tempat kejadian iaitu melalui laluan berselekoh dan menuruni bukit, treler jenis Volvo dipandu Mohamad Syawal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah bahu jalan sebelah kiri.
“Pemandu treler tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala manakala kelindannya tercampak ke luar dan maut serta merta di tempat kejadian,” katanya di sini semalam.
Azli berkata, lori treler tersebut mengalami kerosakan teruk pada bahagian kepala kenderaan dan sebelah kiri serta berada di atas bahu jalan menghala ke Merapoh.
“Lokasi kejadian jalan satu lorong dan dua hala menuruni bukit, garisan tengah berkembar dan ketika kejadian keadaan laluan kering dan cuaca baik,” katanya.
Jelasnya, kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE