Bot tunda dalam perjalanan ke Thailand jumpa penyelam di Tanjung Sedili - Utusan Malaysia

Bot tunda dalam perjalanan ke Thailand jumpa penyelam di Tanjung Sedili

NURUL Hizam Zakaria (dua kanan) pada sidang akhbar di PHC Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Jurulatih selam skuba warga Norway, Kristine Grodem yang ditemukan selamat selepas hilang bersama tiga lagi pelajarnya ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Tokong Sanggol, di sini dijumpai di perairan Tanjung Sedili.

Wanita berkenaan yang berusia 35 tahun dipercayai hanyut kira-kira 30 batu nautika ke selatan daripada lokasi dia dipercayai hilang bersama mangsa lain.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa ditemukan pada pukul 8.15 pagi oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Katanya, mangsa kemudian telah dipindahkan ke helikopter milik agensi itu untuk dibawa ke Stadium Mersing sebelum dihantar ke hospital daerah tersebut untuk rawatan lanjut. 

“Mangsa dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan serius, usaha mencari baki tiga lagi mangsa diteruskan dengan aset yang ada meliputi kawasan pencarian 100 batu nautika bagi aset di laut dan aset udara meliputi kawasan 270 batu nautika,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini.

Nurul Hizam berkata, hasil soal siasat awal ke atas mangsa memaklumkan, kali terakhir dia melihat tiga lagi mangsa yang lain adalah pada pukul 12.45 tengah hari sebelum hilang daripada pandangan akibat hanyut dibawa arus. 

“Mereka dipercayai hilang kerana arus yang kuat. Jadi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini akan ditumpukan ke arah selatan di perairan itu.

“Kita juga sudah memaklumkan kepada Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia serta Singapura dan Jabatan Laut juga telah keluarkan notis pemakluman kepada kapal-kapal dagang yang belayar sekiranya terjumpa mangsa agar hubungi kita jika ada maklumat atau menemui mangsa,” katanya.

Sementara itu, Nurul Hizam berkata, jurulatih berkenaan juga menyatakan kawasan itu adalah lokasi biasa mereka melakukan aktiviti selaman skuba dan tidak pernah berlaku sebarang insiden sebelum ini.

“Cuaca ketika ini baik, ketinggian ombak setinggi satu ke dua meter. Jadi aktiviti penyelaman untuk SAR bukan satu masalah. Kita harapkan ketiga-tiga mangsa akan dapat dijumpai dengan segera,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya