ALOR GAJAH: Seramai 465 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat di sini terpaksa meneruskan pembelajaran dalam keadaan terancam dengan risiko kejadian tanah runtuh.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang Ampat, Taufik Abd. Rahman berkata, kini bangunan blok C di sekolah tersebut telah pun retak dan tidak boleh digunakan sejak Mac lalu.
Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca dari projek perumahan berdekatan yang didakwa membuat potongan tebing tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengarahkan bangunan tiga tingkat di blok C dikosongkan sehingga Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan pengesahan keselamatan bangunan.
“Bagaimanapun, keselamatan 465 murid dan 37 guru di sekolah ini masih terancam dengan risiko kejadian tanah runtuh, kerana tidak mustahil dengan cuaca hujan lebat berterusan pergerakan tanah mungkin berlaku,” katanya pada sidang akhbar di SK Simpang Ampang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Taufik berkata, kini lebih 200 murid darjah dua, empat dan lima terpaksa meneruskan sistem penggiliran kerana mengalami masalah kelas yang tidak mencukupi.
“Pada hari ini, anak-anak ini terpaksa meneruskan sistem penggiliran, malah, pihak sekolah juga terpaksa menggunakan bilik tayang, bengkel reka bentuk teknologi dan perpustakaan untuk dijadikan kelas.
“Mereka ini belajar dalam keadaan yang tidak selesa disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab pemaju ini,” tegasnya.
Jelasnya lagi, bangunan yang menempatkan seramai 70 murid pra sekolah berusia enam tahun juga telah mulai retak dan ia amat membimbangkan.
Taufik berkata, PIBG berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu tersebut.
Sementara itu, datuk kepada lima murid di sekolah itu, Mohd. Taro Jaafar, 66, berkata, dia bimbang sekiranya keadaan itu berterusan, cucunya yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun akan tertinggal dalam pembelajaran.
“Kini, kelima-lima mereka terpaksa bergilir-gilir ke sekolah, saya risau nanti ada yang keciciran dalam pembelajaran kerana sekolah lain semua sudah memulakan sesi seperti biasa,” katanya.-UTUSAN ONLINE