MELAKA: Seorang warga emas maut apabila kereta dipandu hilang kawalan sebelum terhumban dari Jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa, Tan Chin Chee, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa yang menghala ke Melaka Raya telah hilang kawalan.
“Kereta mangsa dari lorong kiri telah masuk ke laluan bertentangan sehingga terjatuh dari jambatan.
“Anggaran ketinggian dari jambatan ke tempat kejadian adalah lebih kurang 15 meter dan akibat kemalangan itu, mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Rahim Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.26 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota termasuk sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, kita dapati terdapat sebuah kereta dalam keadaan remuk dipercayai terjatuh daripada jambatan dan terdapat seorang lelaki di dalamnya.
“Pemandu tersebut telah disahkan meninggal dunia dan operasi mengeluarkan mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. –UTUSAN ONLINE