MELAKA: Seorang wanita warga emas berusia 99 tahun melecur selepas rumah didiami terbakar di Taman Kerjasama, Bukit Beruang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 petang itu, mangsa yang tinggal seorang diri di rumah melecur 10 peratus di badan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.11 petang.
Katanya, sepasukan 13 anggota bersama tiga jentera serta dua buah kenderaan penyelamatan dan perawatan kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan tiba tujuh minit kemudian dan kita dapati sebuah rumah dengan keluasan 22 kali 70 kaki persegi telah terbakar 20 peratus.
“Penghuni rumah iaitu seorang wanita warga emas berusia 99 tahun melecur 10 peratus dan dikejarkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa sebelum itu telah diselamatkan dua orang jirannya yang turut melecur.
“Seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dan anak lelakinya 37 tahun yang merupakan jiran mangsa adalah hero sebenar dalam kejadian ini kerana mereka telah menyelamatkan mangsa.
“Dua beranak itu juga telah melecur kira-kira satu peratus,” jelasnya.
Katanya, operasi pemadaman selesai pada pukul 2.42 petang. –UTUSAN ONLINE