Sebanyak 25 kenderaan musnah, lima deret kedai terbakar - Utusan Malaysia

Sebanyak 25 kenderaan musnah, lima deret kedai terbakar

DERETAN lima buah kedai yang musnah keseluruhannya dalam kejadian kebakaran di Jalan Beserah di Kuantan, Pahang - UTUSAN/IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 25 buah kenderaan musnah dalam kebakaran membabitkan lima rumah kedai termasuk sebuah kedai kereta terpakai di Jalan Beserah, dekat sini, tengah malam tadi.

Ketika kejadian, saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Chong, 58, berkata, api yang marak ketika itu turut disusuli dengan beberapa bunyi letupan kuat.

“Dalam keadaan cemas, saya terus berlari ke rumah sewa di belakang premis terbakar itu untuk menyelamatkan barangan berharga kerana bimbang api merebak ke perumahan berkenaan.

“Mujur, pasukan bomba tiba dan segera memadamkan kebakaran yang hanya 10 meter daripada rumah saya,” katanya yang berada di restorannya kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian di sini hari ini. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.47 tengah malam melalui panggilan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999.

“Lima jentera dengan kekuatan anggota 24 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota, dan Gebeng, telah ke lokasi kejadian.

“Bomba mendapati lima rumah kedai yang terbakar membabitkan kedai kereta terpakai, kedai kusyen, kedai plat kenderaan dan kedai cat kenderaan. Semua premis terbabit telah musnah sama sekali,” katanya. 

Ismail dalam pada itu turut berkata, api berjaya dikawal kira-kira pukul 2.14 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.04 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya