Remaja maut mesin bancuh simen tiba-tiba berfungsi - Utusan Malaysia

Remaja maut mesin bancuh simen tiba-tiba berfungsi

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seorang remaja maut selepas mesin pengadun bancuhan simen aktif secara tiba-tiba ketika sedang proses pembersihan di sebuah kilang membuat mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Industrial Park, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Fenddy Asim, 19, dan rakan sekerja yang lain sedang bekerja di kilang terbabit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, mangsa sedang dalam keadaan menunduk bagi membersihkan bahagian dalam mesin pengadun tersebut.

“Mesin itu secara tiba-tiba hidup dan berputar menyebabkan kepala dan bahu mangsa terkena bilah mesin itu.

“Rakan sekerja mangsa terus berlari ke arah suis mesin untuk mematikannya. Dia memanggil rakan lain untuk mengeluarkan mangsa dari dalam mesin tersebut yang didapati berlumuran darah di bahagian telinga dan kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dzulkhairi berkata, pengadu telah membawa mangsa ke sebuah klinik Taman Nusa Perintis, Gelang Patah pada pukul 11.35 pagi.

Katanya, ketika sampai ke klinik berkenaan, doktor telah mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan siasatan awal tidak menjumpai sebarang kesan jenayah di tempat kejadian. 

“Mangsa dikatakan cuba membersihkan mesin bancuh simen untuk membuat mozek tanpa terlebih dahulu menutup suis utama mesin tersebut menyebabkan mesin tersebut tiba-tiba berpusing,” katanya.

Remaja itu baru enam bulan bekerja sebagai operator di kilang itu. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dijalankan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya