Mangsa runtuhan batu kuari mungkin ditemukan hari ini - Utusan Malaysia

Mangsa runtuhan batu kuari mungkin ditemukan hari ini

MIOR Faridalatrash Wahid bertemu peniaga pada Program High Profile Policing di pasar pagi Sungai Bayor, Selama dekat Larut hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu di sebuah kuari di Simpang Pulai dekat sini pada Selasa lalu mungkin dapat ditemukan hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, usaha mencari dan menyelamat ke atas kedua-dua mangsa bagaimanapun masih diteruskan.

“Semalam, pihak kuari telah menggunakan kaedah letupan batu untuk membuka jalan bagi memudahkan anggota pasukan mencari dan menyelamat.

“Hari ini merupakan hari ketiga usaha pencarian ke atas kedua-dua mangsa yang masih tertimbus itu.

“Kita percaya dengan keupayaan kelengkapan dan alat jentera yang ada, kemungkinan besar mangsa-mangsa boleh dijumpai hari ini,” katanya kepada pemberita selepas Program High Profile Policing di pasar pagi Sungai Bayor, Selama dekat sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Sementara itu, Mior Faridalatrash menasihatkan masyarakat bekerjasama dan memberikan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di kawasan masing-masing.

Menurutnya, aktiviti penyalahgunaan dadah perlu dibanteras secara bersama oleh polis dan masyarakat.

“Saya menyeru agar ibu bapa dan ahli keluarga terdekat memberi kerjasama kepada pihak polis sekiranya terdapat ahli keluarga mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Kita perlu bersama-sama bangun membanteras perkara ini. Masyarakat hanya perlu menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk diambil tindakan segera,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya