Kereta penyeludup minyak terbakar - Utusan Malaysia

Kereta penyeludup minyak terbakar

ANGGOTA dari BBP Rantau Panjang berusaha memadamkan kebakaran sebuah kereta di stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Sebuah kereta dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan bahan api petrol dan diesel bersubsidi ke Thailand, terbakar secara tiba-tiba di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, di sini pagi ini.

Kejadian membabitkan kereta Perodua Kancil sekitar pukul 8.35 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan. 

Malah, pemilik kenderaan tersebut juga menghilangkan diri dan gagal dikesan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat tong plastik dalam kereta tersebut yang disyaki digunakan untuk mengisi minyak bagi tujuan penyeludupan.

“Hasil temu bual dengan pekerja pam di stesen minyak berkenaan, mereka mendakwa ternampak api menyala dari bawah kereta tersebut semasa seorang lelaki sedang mengisi petrol di pam nombor tujuh.

“Api kemudian telah merebak ke bahagian belakang kereta manakala lelaki terbabit terus bertindak melarikan diri. Saksi turut memaklumkan tiada unsur khianat yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, maklumat berkait dengan suspek berusia 36 tahun telah diperoleh hasil maklumat disalurkan orang awam dan usaha mengesan suspek yang beralamat di Rantau Panjang sedang giat dilakukan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.36 pagi.

“Seramai enam anggota dari BBP Rantau Panjang bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja memadam serta menyelamat. Kita mengambil masa selama tiga minit untuk mengawal kebakaran tersebut,” katanya

Terdahulu, tular dalam media sosial kejadian sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar secara tiba-tiba di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang ketika pemandunya sedang mengisi bahan api itu. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya