Hujan punca batu kuari runtuh - Utusan Malaysia

Hujan punca batu kuari runtuh

KEADAAN runtuhan batu di tapak kuari di Simpang Pulai, Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taburan dan kekerapan hujan yang tinggi menjadi punca kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, kejadian berlaku di sebuah kuari yang yang aktif beroperasi di Simpang Pulai. 

Menurutnya, batu kapur mengandungi kalsium karbonat yang mudah larut apabila terkena air dan mengakibatkan terbentuknya rongga pada batuan.

“Ini menyebabkan struktur batuan berkenaan lemah dan berlakunya kegagalan muka cerun seterusnya batu runtuh,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Menurut Ahmad Zukni, perubahan cuaca yang tidak menentu menjadi antara faktor kejadian runtuhan batu kuari di sini. 

Katanya, sejak kebelakangan ini, hujan lebat berterusan dan ada masanya cuaca panas. 

“Struktur batu kapur yang berongga tambahan pula faktor cuaca dengan hujan lebat jadi akan menyebabkan berlakunya kejadian batu runtuh berkenaan,” katanya. 

Menurutnya, pihaknya telah menghantar pegawai bagi membuat pemantauan di lokasi kejadian. 

Katanya, peranan JMG di tempat kejadian adalah untuk memantau keadaan di cerun kawasan kejadian runtuhan tersebut. 

“Ini untuk memastikan cerun berkenaan selamat untuk dimasuki oleh pasukan penyelamat bagi menjalankan operasi. 

“Sepatutnya, kerja-kerja penyelamatan diberhentikan seketika kerana cuaca seperti ini merisikokan operasi menyelamat,” katanya. 

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi tadi, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya