Banjir: Penduduk selamatkan kenderaan, bahan makanan - Utusan Malaysia

Banjir: Penduduk selamatkan kenderaan, bahan makanan

LATIFAH Suraya Yahaya melihat bekalan bahan makanan yang disimpan di lereng bukit belakang rumahnya di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bimbang bah besar berulang, hampir semua penduduk di Kampung Bukit Lanchong, di sini sudah pun menyelamatkan barangan penting masing-masing sebagai persediaan sekiranya bencana tersebut berlaku lagi.

Seorang penduduk, Latifah Suraya Yahaya, 35, berkata, ahli keluarganya meletakkan lima buah kereta dan motosikal mereka di jalan masuk ke kampung itu dari Putra Heights, kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam, ketua kampung sini melalui pesanan aplikasi WhatsApp meminta penduduk menyelamatkan barang berharga serta kenderaan kerana paras air Sungai Klang telah naik sehingga ke paras tebing.

“Tanpa membuang masa, saya, suami dan tiga orang anak membawa dua buah kereta, empat motosikal serta sebuah van ke tempat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Keli 4, hari ini.

Selain kenderaan, dia juga membawa lebih 40 bungkus kampit beras, gula dan tepung ke lereng bukit di belakang rumahnya.

Ketika bah Disember lalu, menurut Latifah, dia kerugian lebih 40 kilogram bahan makanan kering, dengan nilai kerugian dianggarkan RM500.

“Saya ambil iktibar daripada bah yang berlaku, tiga bulan lalu. Kami sekeluarga tidak sanggup menanggung kerugian harta benda sekali lagi,” katanya yang sudah tinggal di situ lebih enam tahun.

Seorang lagi penduduk, Hashim Arif, 46, berkata, hujan berhenti kira-kira pukul 9 pagi ini, setelah berterusan turun sejak tengah hari semalam.

Seperti Latifah juga, dia turut meletakkan dua buah keretanya di kawasan kedai sekitar Putra Heights sebagai langkah awal mengelak banjir.

“Saya redha kalau banjir berlaku lagi tapi selamatkan barang penting dahulu sebagai langkah awal. Tetapi, alhamdulillah kerana cuaca pagi ini tidak hujan dan panas terik, katanya yang tinggal di Lorong Keli 5.

Sementara itu, penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini membuat persediaan terhadap kemungkinan banjir dengan mengalihkan kereta masing-masing ke tempat lebih tinggi sejak dua hari lalu.

Malah, ada antara mereka membawa ahli keluarga bersama-sama tinggal sementara di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir pusat komersial di Bukit Kemuning dan bahu Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) demi keselamatan.

Seorang penduduk di Jalan Srikandi, Sukardi Tengku Abdul Mutalib, 45, memberitahu, dia bergegas membawa isteri, lima anak dan adik beradiknya yang lain selepas kawasan rumahnya yang berdekatan Kunci Pintu Air Taman Sri Muda mula dikunjungi kenderaan pihak berkuasa.

“Malam semalam memang penuh dekat depan rumah dengan jentera bomba, kereta polis dan kenderaan orang ramai yang hendak tengok keadaan air di sini, saya tak mahu tunggu lagi terus keluar rumah kira-kira pukul 12 tengah malam.

“Memang saya agak, malam tadi, satu keluarga bermalam dalam kereta sebab bimbang akibat paras air Sungai Klang tinggi sehingga melepasi ban. Tetapi, selepas dapat tahu air semakin turun dalam pukul 2.30 pagi, kami pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya