20 meter lagi untuk ke lokasi mangsa tertimbus - Utusan Malaysia

20 meter lagi untuk ke lokasi mangsa tertimbus

KERJA-kerja pengalihan bongkah batu bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas seminggu kerja-kerja mengalihkan bongkah batu dijalankan, kini, hanya tinggal 20 meter sahaja lagi bagi pasukan penyelamat untuk tiba di lokasi dua pekerja kuari yang tertimbus.

Timbalan Komander Operasi 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, meskipun jarak itu tidak terlalu jauh, namun, pasukan penyelamat memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hari lagi untuk sampai ke lokasi berkenaan.

Katanya, keadaan cuaca tidak menentu termasuk hujan pada sebelah petang serta beberapa siri pergerakan tanah dan runtuhan kecil menyukarkan operasi mengesan mangsa. 

“Setakat ini, kita telah membuka laluan dianggarkan kira-kira 300 meter dan kini berbaki 20 meter sahaja lagi. Bagaimanapun, ia bukanlah lokasi tepat mangsa berada sebaliknya berdasarkan gambaran saksi.

“Mungkin dua ke tiga hari lagi kita akan sampai ke lokasi itu. Buat masa sekarang kerja-kerja membuka laluan dilakukan menggunakan tiga jengkaut yang setiap satunya bertindak mengalihkan dan memecahkan batu serta menggerudi batu besar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini, pihaknya tidak mengesan sebarang petunjuk baharu sama ada membabitkan bau mahupun bangkai mangsa-mangsa yang tertimbus.

Beliau memberitahu, anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba juga belum diatur gerak untuk masuk ke lokasi runtuhan ekoran keadaan muka bumi yang masih tidak selamat untuk K9 menjalankan kerja-kerja mengesan mangsa.

“Kerja-kerja pengalihan batu hari ini bermula pukul 8.30 pagi, namun, dihentikan sementara pada pukul 11.00 pagi berikutan terdapat sedikit runtuhan kecil bongkah batu. 

“Operasi disambung semula pada pukul 12.30 tengah hari dengan proses pemantauan dan keselamatan dilakukan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya.

Terdahulu, JBPM Perak memberitahu, operasi mencari dua mangsa tertimbus runtuhan batu itu mengalami kesulitan, berikutan kehadiran bongkah-bongkah batu seberat lebih 200 tan.

Menurut pasukan penyelamat, dua jengkaut yang digunakan dalam operasi berkenaan tidak mampu mengalihkan bongkah-bongkah batu yang menyamai bangunan tiga tingkat itu.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya