MELAKA: Seorang juruteknik nyaris maut selepas motosikal ditunggang ditimpa sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berdekatan Melaka Sentral, semalam.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7.20 malam itu sempat dirakam orang awam dan tular di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, penunggang, Muhammad Syajaratul Montaha Zainudin, 37, dilaporkan selamat, namun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Melaka.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave Dash dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Jalan Bachang menghala ke Melaka Sentral.
“Ketika melalui jalan itu, tiba-tiba sebuah pokok telah tumbang dan menghempap motosikal ditunggangi mangsa.
“Akibat kemalangan itu, penunggang mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka dengan ambulans,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, polis meminta orang awam yang merakamkan klip video tersebut agar tampil bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kes disiasat mengikut Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan masih diteruskan, jadi kita minta agar orang awam yang melihat kejadian tersebut tampil bagi memberi keterangan,” katanya. –UTUSAN ONLINE