KUANTAN: Seorang daripada dua nelayan masih belum ditemukan selepas dilaporkan hilang ketika bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Pelindung, dekat sini, Sabtu lalu.
Bot gentian kaca dinaiki mangsa, Fadzely Mohamed, 40, dan rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38, dipercayai terbalik akibat terlanggar pukat tunda kira-kira pukul 6.30 petang ketika keluar memancing berhampiran perairan itu.
Bagaimanapun, Abdul Mutalib diselamatkan nelayan lain yang kebetulan melalui kawasan itu selepas berpaut pada badan bot itu selama 30 minit.
Penolong Pengarah Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Leftenan Komander Maritim Mahathir Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini sudah memasuki hari ketiga dengan pertambahan keluasan pencarian sehingga 140 batu nautika di perairan Karang Tanjung Pelindung.
“Sedikit sebanyak kita berdepan dengan kesukaran dalam operasi kali ini dan harapan untuk menemukan mangsa dalam keadaan selamat juga agak tipis memandangkan pencarian sudah memasuki hari ketiga.
“Antara faktor lain menyukarkan penemuan berikutan keadaan angin kencang dengan kelajuan angin dari 30 ke 40 kilometer (km) sejam dengan ketinggian gelombang antara 1.5 meter hingga 2.5 meter.
“Di samping itu, kita juga masih tidak menemukan sebarang petanda namun kita berusaha untuk mencari sekiranya ada menjumpai badan mangsa untuk dibawa balik,” katanya ketika ditemui di pantai Kampung Baru Beserah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, operasi yang merujuk kepada Search Action Plan (SAP) dikeluarkan masih menggunakan kaedah pencarian dipermukaan air yang turut melibatkan beberapa aset bot Maritim Malaysia.
Katanya, operasi digerakkan lagi dengan membabitkan sektor udara iaitu menggunakan pesawat AW 189 dariapada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Agensi-agensi sahabat juga tidak berkecuali memberi bantuan aset untuk melakukan pemantauan di pesisir pantai.
“Keseluruhannya operasi membabitkan lebih kurang 30 anggota daripada beberapa agensi termasuk Maritim Malaysia, JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan bot nelayan tempatan Kuantan.
“Sekiranya tiada sebarang penemuan, operasi carilamat akan ditangguhkan pada pukul 7.00 malam dan disambung semula pukul 7.00 pagi, esok,” katanya.
Sementara itu, APMM Pahang sentiasa meningatkan komuniti maritim khususnya bot-bot nelayan tempatan termasuk bot-bot kecil supaya berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah atau di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. –UTUSAN ONLINE